KUALA LUMPUR: 'Gelanggang' Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menyaksikan pertandingan di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri membuka tirai secara rasmi hari ini.

Mulai 9 pagi bakal calon daripada parti-parti yang bertanding serta calon Bebas boleh menyerahkan borang pencalonan di 173 pusat penamaan calon yang dibuka di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain kerusi DUN di enam negeri itu, turut diadakan pada masa sama ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Selepas selesai proses penamaan calon pada pukul 10 pagi esok, calon yang disahkan bertanding akan mula berkempen dengan tempoh kempen yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah 14 hari iaitu sehingga 11.59 malam 11 Ogos.

Hari mengundi ditetapkan 12 Ogos dengan pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN itu merupakan kali pertama menyaksikan enam negeri berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen.

Landskap politik negara boleh dikatakan berubah apabila enam negeri itu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing pada masa yang sama Dewan Rakyat dibubarkan 10 Okt lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 Nov.

Hanya Perak, Pahang, Perlis yang mengadakan pilihan raya kerusi DUN masing-masing serentak dengan PRU-15 manakala Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri masing-masing lebih awal daripada PRU.

Mengikut amalan lazim pilihan raya DUN negeri-negeri di Semenanjung diadakan serentak pada pilihan raya umum.

PRN enam negeri itu diadakan selepas DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun diikuti Selangor yang mempunyai 56 kerusi pada 23 Jun manakala Pulau Pinang (40 DUN), Kedah (36 DUN) dan Terengganu (32 DUN) dibubarkan pada 28 Jun dan Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN pada 1 Julai.

Berdasarkan statistik SPR, seramai 9,773,571 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN enam negeri itu dengan Selangor seramai 3,747,057 orang, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

PRN kali ini juga merupakan medan pertama Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan bakal berhadapan dengan calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan.

Parti MUDA pula membuat keputusan untuk bergerak sendiri pada PRN ini dengan menamakan 20 calon manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan untuk bertanding di 13 DUN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menamakan calon di empat DUN.

Berjasa dan Pejuang pula memilih untuk tidak bertanding. - BERNAMA