PRN Johor: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

Bernama
Mac 8, 2022 13:31 MYT
Pusat pengundian awal di Dewan Dato Onn, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor untuk DUN Stulang dibuka seawal 8 pagi mengikut masa yang ditetapkan. - Foto Astro AWANI/Firdaus Azil
JOHOR BAHRU: Sebanyak 87 peratus atau 18,625 individu telah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi awal itu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), serta pasangan masing-masing.
"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.
Pengundian PRN Johor akan diadakan Sabtu ini.
-- BERNAMA
#PRN Johor #Johor Memilih #Ikmalrudin Ishak #anggota beruniform