JOHOR BAHRU: Menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang Muhammad Saiful Bahari Sahari daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) berjanji untuk berkhidmat dan membantu menaikkan taraf sosioekonomi rakyat di kawasan itu.

Muhammad Saiful Bahari, 34, yang juga Naib Presiden PBM berkata beliau dan partinya akan mengotakan janji-janji termasuk agenda pemerkasaan anak muda serta pembangunan ekonomi jika rakyat memberi peluang melalui peti undi pada PRN Johor, 12 Mac ini.

PRN Johor ke-15 ini merupakan kemunculan kali pertama PBM dalam pilihan raya selain Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Warisan (Warisan).

Pejuang bersaing di 42 kerusi DUN, tertinggi dalam kalangan parti baharu manakala MUDA yang merupakan rakan strategik Pakatan Harapan (PH) bertanding di tujuh kerusi.

Warisan yang membuat penampilan sulung di Semenanjung Malaysia mempertaruh enam calon dan PBM empat calon.

Bertembung dengan parti-parti dan ahli politik veteran, mampukah mereka memberikan cabaran yang mereka laung-laungkan sebelum bermulanya PRN Johor ?

Berhadapan saingan lima penjuru, Muhammad Saiful Bahari tidak gentar kerana yakin dengan kemampuan jentera pilihan raya PBM dalam meraih sokongan pengundi.

"Walaupun PBM merupakan sebuah parti baharu, mereka yang ada di dalam parti ini tidak kekok dan berpengalaman berjuang dalam pentas pilihan raya ketika berada di dalam parti politik lain sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Muhammad Saiful Bahari yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin berdepan penyandang DUN Stulang Andrew Chen Kah Eng (PH) selain Ang Boon Heng (Barisan Nasional), Yap Chiang Youis (Perikatan Nasional) dan Moharam Baharom (Bebas).
Sementara itu, calon Pejuang di DUN Semerah, Mahdzir Ibrahim juga optimis mencipta kejayaan sekalipun bernaung di bawah parti yang pertama kali memasuki gelanggang pilihan raya.

"Insya-Allah dengan gerak kerja jentera dan perancangan yang ada, kita mampu mencipta kejutan di sini," katanya yang turut berdepan saingan lima penjuru.

Sebelum ini, lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) yang membuat penampilan sulung di PRN Melaka tahun lepas hilang deposit setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG PRN JOHOR 




Seorang pemerhati politik berpandangan dalam PRN Johor meskipun dilabel sebagai parti baharu, ada parti yang ditunjangi ahli politik berpengalaman dan berpengaruh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad bagi Pejuang dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi Warisan.

Pensyarah Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Khairunesa Isa berkata selain melihat keupayaan calon, pengundi juga mengambil kira faktor parti dan ahli-ahlinya, yang boleh membantu mereka khususnya dalam proses pemulihan negara akibat pandemik COVID-19.

"Tidak bermaksud kalau satu parti dia 'muda', dia akan kalah kerana faktor individu yang berada di dalam parti itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya calon-calon parti berkenaan perlu bekerja lebih keras bagi menyaingi parti-parti senior terutama dari segi memperkenalkan diri mereka dan hala tuju parti masing-masing.

-- BERNAMA