JOHOR BAHRU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan menggerakkan pengoperasian tahap maksimum di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi melancarkan kepulangan pengundi dari Singapura bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata inisiatif itu merangkumi pembukaan laluan khas, pengaktifan kaunter hibrid serta laluan kontra bagi memastikan aliran trafik dan pergerakan pengembara di kedua-dua pintu masuk negara itu berjalan dengan lancar.
Beliau berkata pengoperasian maksimum itu bermula pada Jumaat ini dengan tumpuan di zon ketibaan yang dijangka menerima pertambahan pengembara menjelang hari pengundian.
"Bagi BSI, pembukaan laluan khas melibatkan 38 kaunter masuk di zon kereta dan pembukaan sepenuhnya 35 e-gate, dua kaunter kod respons pantas (QR) dan 18 kaunter manual sepanjang tempoh tersebut.
"Di KSAB pula melibatkan pembukaan 24 kaunter di zon kereta, manakala di zon bas pembukaan membabitkan antara 18 hingga 24 kaunter e-gate dan manual," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata laluan khas berkenaan akan beroperasi selama 24 jam pada Jumaat, dan dari 12.01 tengah malam hingga 6 petang pada hari pengundian, iaitu Sabtu ini.
Bagi meminimumkan impak kesesakan, beliau berkata kaunter hibrid dan laluan kontra akan diaktifkan sekiranya berlaku kesesakan luar biasa pada waktu puncak, iaitu petang Jumaat dan pagi Sabtu.
"Berdasarkan pengalaman PRN Johor pada 2022, kami hanya menjangkakan sedikit peningkatan pergerakan rentas sempadan memandangkan majoriti rakyat Johor yang bekerja di Singapura merupakan pengembara harian, namun mereka dijangka mula pulang seawal Jumaat.
"Sekiranya berlaku kesesakan luar biasa di dewan bas BSI, pelan kontingensi termasuk pengaktifan laluan kontra akan dilaksanakan bagi membolehkan tambahan lapan kaunter manual dan enam autogate atau e-gate dibuka," katanya.
Beliau berkata sekiranya kapasiti dewan penumpang masih tidak mencukupi, AKPS turut bersedia membuka ruang kaunter “Golden Service” di laluan bas bagi mengasingkan kategori pelawat tertentu mengikut keperluan operasi.
"Setiap dewan penumpang di BSI direka bentuk bagi menampung kira-kira 1,500 orang pada satu-satu masa bagi laluan masuk atau keluar.
"Bagaimanapun, BSI pernah mengendalikan anggaran 5,500 orang pada satu-satu masa dan dengan kemudahan autogate serta kaunter manual sedia ada, kapasiti pemeriksaan mampu mencapai 6,400 orang sejam," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di KSAB bagi melancarkan aliran bas awam dan kilang, penyuraian trafik dan kawalan pergerakan penumpang.
"AKPS juga telah menetapkan agar sebarang aktiviti menaik taraf, penyelenggaraan berkala serta aktiviti pencegahan sistem, rangkaian dan hardware pada 10 dan 11 Julai perlu ditangguhkan bagi memberikan laluan kepada proses PRN Johor," katanya.
Mohd Shuhaily berkata AKPS juga telah mengadakan sesi penyelarasan bersama-sama pihak Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi memastikan operasi pemeriksaan di kedua-dua hala sempadan dilakukan secara teratur.
Berdasarkan analisis AKPS bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, beliau berkata BSI merekodkan antara 300,000 hingga 350,000 pergerakan pengembara setiap hari, dengan 67 peratus daripadanya merupakan rakyat Malaysia, 29.5 peratus warga Singapura, manakala selebihnya ialah warga asing.
"Pengalaman mengurus PRN kali ini akan dijadikan rujukan untuk merancang operasi di Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura pada masa depan, yang dijangka menjadi pilihan utama pengundi," katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan mengikuti hebahan berkala tentang situasi semasa di pintu masuk menerusi laman Facebook rasmi Unit Korporat dan Komunikasi AKPS BSI dan KSAB bagi membantu orang ramai merancang perjalanan dengan lebih baik.
PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
-- BERNAMA