Skip to main content

Politik

PRN Johor: Anwar tegur Johor lembab bina rumah rakyat

Astro Awani
Anwar bersama calon-calon Pakatan Harapan ketika berucap pada program Temu Anwar Johor Ke Depan, hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

MUAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kelembapan pembangunan rumah mampu milik di Johor sambil menegaskan hala tuju pembangunan negeri perlu lebih memberi perhatian kepada keperluan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, agenda pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada kelompok berpendapatan tinggi, sebaliknya mesti mengambil kira kebajikan rakyat biasa yang memerlukan akses kepada rumah mampu milik dan kemudahan asas.

“Mengapa Johor masih lembab dalam membangunkan rumah untuk rakyat? Sebab itu saya mahu melihat perubahan di negeri Johor. Kita perlu memberi tumpuan kepada golongan di bawah,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar Johor Ke Depan di sini, hari ini. 

Anwar berkata kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan pendekatan pembangunan yang lebih inklusif, termasuk menerusi program Residensi MADANI yang menyasarkan pembinaan puluhan ribu unit rumah untuk golongan muda serta berpendapatan rendah.

Menurutnya, harga rumah di Johor Bahru yang semakin meningkat menyebabkan ramai anak muda dan keluarga baharu berdepan kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri.

“Jadi, perancangan pembangunan negeri ini perlu diperbaiki agar selari dengan dasar kerajaan Persekutuan. Kita perlu bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan kerajaan sedang menambah baik sistem imigresen di pintu masuk Johor-Singapura bagi mengurangkan kesesakan yang sekian lama menjadi isu di laluan berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia, dengan sasaran pelaksanaan sistem baharu sekitar Januari tahun depan.

“Keadaan sekarang lebih baik berbanding dua atau tiga tahun lalu, namun masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan. Kita serius untuk menangani masalah ini,” katanya.

Tambah beliau, usaha berkenaan turut dibincangkan dengan rakan sejawatnya di Singapura bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan di sempadan kedua-dua negara.
 

Must Watch Video

Advertisement