JOHOR BAHRU: Kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan pengakhiran kepada perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam membela kepentingan rakyat.
Sebaliknya, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, komitmen parti untuk terus mendampingi serta memperjuangkan kebajikan rakyat akan diteruskan tanpa berbelah bahagi.
"Keputusan pilihan raya bukanlah noktah kepada perjuangan.
"Sebaliknya, ia menjadi satu pengalaman yang amat berharga untuk kita melakukan muhasabah, memperkukuhkan organisasi dan menyusun gerak kerja dengan lebih tersusun bagi menghadapi cabaran yang akan datang," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini ,hari ini.
Sahruddin berkata, pihaknya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera, petugas, sukarelawan, penyokong serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus mengerah tenaga, masa dan pengorbanan sepanjang menghadapi PRN Johor Ke-16.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, kekangan dan tekanan sebagai pembangkang, jentera parti itu tetap istiqamah turun ke lapangan, menyantuni rakyat serta mempertahankan prinsip perjuangan demi agama, bangsa, tanah air dan kesejahteraan rakyat Johor.
"BPN Bersatu Johor menyeru seluruh jentera agar terus kekal bersemangat, bersatu hati dan tidak mudah berputus asa.
"Kepada seluruh ahli dan penyokong, jangan sesekali luntur semangat perjuangan. Kekuatan sesebuah perjuangan bukan hanya diukur melalui kemenangan pilihan raya, tetapi melalui kesetiaan, keikhlasan dan kesanggupan untuk terus berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua keadaan.
"BPN Bersatu Johor yakin bahawa dengan kesatuan, disiplin dan iltizam yang tinggi, perjuangan ini akan terus subur dan mendapat tempat di hati rakyat," jelas beliau.
Pada PRN Johor ke-16, Bersatu tewas semua 16 kerusi DUN ditandingi termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi Dr Sahruddin.
Berdasarkan keputusan PRN Johor ke-16, Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH).