KUALA LUMPUR: DAP hari ini mengumumkan dua lagi calon dari parti itu yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan dan Pekan Nenas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, kedua-dua calon itu dipersetujui sebulat suara oleh pimpinan parti pusat dan negeri.

"Hari ini saya ingin umumkan dua calon untuk DUN Bentayan dan Pekan Nenas. Seperti saya umumkan tadi semua pemimpin dan ahli telah buat keputusan untuk bersama dengan parti, menjayakan usaha kita menangkan calon yang telah dipilih parti.

"Saya percaya dengan niat bersama ini, dengan semangat perpaduan parti akan memberikan peluang lebih besar untuk kita mengekalkan misi bertanding dan capai kemenangan. Saya ingin umumkan calon Bentayan ialah saudara Ng Yak Howe dan calon Pekan Nenas ialah saudara Yeo Tun Siong," jelasnya dalam sidang media pada Sabtu.

Pengumuman itu menjawab teka-teki dua daripada lima kerusi yang belum diumumkan parti tersebut.

Tambah Guan Eng, pengumuman baki tiga lagi kerusi itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kalau nak umumkan mengenai pencalonan Liew Chin Tong, bukan hari ini, kita akan tetapkan hari yang sesuai.

"Hari ini (ialah) tentang kita semua terus mendalami wawasan parti memenangkan parti dan menyokong calon yang ditetapkan parti. Itulah semangat semua ahli dan pemimpin di peringkat negeri," jelasnya.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dikhabarkan akan membuat kemunculan bagi kerusi DUN Perling dalam PRN kali ini.

Bagaimanapun, persoalan itu hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat parti itu.

Dalam sidang media sama, Guan Eng turut menyatakan penghargaan kepada Tan Hong Ping (Skudai) dan Cheo Yew How (Perling) atas semangat yang diberikan kepada parti.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya, sama ada dua pemimpin itu akan dipilih bagi tiga lagi kerusi yang belum diumumkan, atau sebaliknya.

"Saya juga ingin ucapkan penghargaan kepada saudara Tan Hong Ping dan Cheo Yew How atas semangat diberikan kepada parti dan juga percaya mereka sama-sama (akan) menjayakan semua calon dipilih parti dalam PRN Johor.

"Marilah kita bersama menjayakan calon DAP, Pakatan Harapan supaya kita boleh buat satu perubahan bermakna bukan sahaja untuk anak muda kita, tapi untuk masa depan Johor dan Malaysia," jelas Guan Eng lagi.

Sebelum ini DAP telah diperuntukkan oleh Pakatan Harapan 16 daripada keseluruhan 56 kerusi, tetapi telah bersetuju untuk menyerahkan dua kerusi iaitu Machap dan Bukit Permai kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.