SEGAMAT: Kenyataan Barisan Nasional (BN) yang tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti lain sekiranya berjaya mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap sebagai satu lagi kenyataan yang angkuh dan pramatang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim menyifatkan, landskap politik semasa sentiasa berubah dan sebarang keputusan berkaitan pembentukan kerajaan hanya boleh ditentukan selepas rakyat membuat pilihan pada hari pengundian.
“Ini bagi saya satu lagi kenyataan yang angkuh. Dulu pun mereka pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan seperti ‘No Anwar’ dan ‘No Bersatu’.
“Tetapi dinamik politik hari ini sudah berkembang. Hari ini kita berkempen dan rakyat yang akan membuat keputusan. Akhirnya pemimpin perlu membuat keputusan untuk memastikan urusan pentadbiran di peringkat negeri dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa majlis jelajah angkatan Muda Keadilan pada Ahad.
“Pada saya, kenyataan-kenyataan begini ialah kenyataan yang pramatang. Rakyat boleh menilai sendiri sikap pemimpin yang ada dan membuat penilaian dengan baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua parti yang bertanding supaya memberi tumpuan kepada tawaran serta dasar yang dibawa kepada rakyat berbanding memainkan isu-isu yang dianggap remeh bagi meraih sokongan.
“Jangan gunakan isu-isu rendah ini sebagai satu cara untuk meraih sokongan atau simpati. Sebaliknya, tunjukkan apa tawaran kita, apa dasar kita dan apakah pendekatan ekonomi yang mahu dibawa,” ujarnya.
Pada Rabu lalu, BN Johor mengumumkan pendirian untuk tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik lain sekiranya berjaya mengekalkan kuasa selepas PRN negeri itu.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pendirian gabungan tersebut kekal teguh meskipun berdepan kritikan dan tekanan sejak mengumumkan pada 16 Mei lalu bahawa BN Johor bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya kali ini.
Beliau berkata, gabungan itu berdepan pelbagai serangan dan tuduhan susulan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan beberapa parti politik tertentu.
Beliau turut menegaskan, pendirian BN untuk tidak bekerjasama dengan DAP tidak harus ditafsirkan sebagai penolakan terhadap mana-mana kaum kerana gabungan itu kekal komited mewakili masyarakat berbilang kaum di Johor.
Onn Hafiz berkata, sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada BN, gabungan itu akan mentadbir Johor secara sendiri tanpa membentuk sebarang kerjasama atau gabungan dengan parti politik lain di negeri tersebut.