ISKANDAR PUTERI: Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan dan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan campur tangan dengan sebarang keputusan dibuat SPR yang juga sebuah badan bebas.

"Kita tunggu sahaja pengumuman SPR. Saya pasti sebelum mereka (SPR) umum SOP PRN Johor, mereka akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan pakar kesihatan awam mengatakan kempen secara bersemuka tidak sesuai pada pilihan raya tersebut memandangkan kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang membuka laluan khas kepada pekerja rakyat Johor yang kini berada di Singapura untuk pulang mengundi, Ismail Sabri berkata perkara itu perlu melihat kepada peraturan semasa negara jiran itu.

"Kalau boleh kita memang hendak rakyat bebas balik mengundi kerana dari segi demokrasi setiap rakyat berhak untuk mengundi tapi mereka berada di Singapura dan terpaksa mematuhi peraturan dan undang-undang Singapura.

BACA: KKM setuju SOP PRN Johor, yakin tiada peningkatan kes - Khairy

"Tetapi kalau pintu ditutup kerana faktor kesihatan dan Singapura ada peraturan tertentu yang menyukarkan rakyat balik, maka kena patuh kerana ini juga melibatkan negara mereka," katanya.

SPR menetapkan PRN Johor pada 12 Mac, manakala penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.

-- BERNAMA