PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kononnya calon mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi sudah dinamakan sebagai bakal menteri besar Johor sekiranya parti itu diberi mandat rakyat, 12 Mac ini.

Beliau berkata, sebaliknya gabungan itu belum membuat sebarang pengumuman nama calon yang bakal diangkat dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai taktik busuk oleh pihak tertentu.

“Ini taktik orang jahat dengan niat untuk fitnah dan saya (pernah) difitnah bahawa saya nak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jadi calon Perdana Menteri. Apa cerita itu ?, dan kita terpaksa nafikan.

“(Jadi) tidak betul, palsu (poster) itu yang mana saya ada beritahu bahawa saya tidak ada umum (nama) sesiapa.

“Saya dah beri jawapan lama dah kita akan umumkan selepas kita berupaya menang dan membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Kementerian Pertaniaan dan Industri Makanan & Majlis Pemulihan Negara bersama komuniti agromakanan Johor di Kompleks Sukan, di sini petang Jumaat.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh bagaimanapun yakin pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) Johor esok, tidak termakan dengan agenda jahat yang sengaja dibuat oleh pihak lawan.

“Saya fikir pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik busuk hati yang sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

“(Tetapi) kita kena juga berjaga-jaga dengan orang yang berniat jahat seperti ini supaya kita (pengundi) tidak terpengaruh,”ujarnya.

Terdahulu, poster kononnya tiga calon menteri besar yang mewakili tiga parti dominan yang bertanding pada PRN Johor iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN mula ditularkan di laman sosial Facebook sejak semalam.

Poster itu memaparkan calon BN Benut Datuk Hasni Mohammad, calon PH Layang-Layang Dr Maszlee Malik dan calon PN Bukit Permai Tosrin Jarvanthi.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas kriteria calon yang bakal diangkat sebagai menteri besar sekiranya berjaya memperoleh undi majoriti, Muhyiddin berkata ramai calon yang dipertaruhkan pada pilihan raya kali ini layak untuk mentadbir negeri Johor.

“Kita ada ramai calon yang layak tengok latar belakang mereka dan kelayakan mereka semua sekali, kita biasalah bukan baru dan sampai masa sesuai sekiranya kita dapat bilangan kerusi yang lebih itu tidak jadi masalah dan kita akan umumkan,”katanya.