JOHOR BAHRU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep mengejutkan persaingan di DUN berkenaan selepas diumumkan sebagai salah seorang calon bertanding atas tiket Bebas .

Najib yang merupakan calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan satu-satunya wakil rakyat parti berkenaan sebelum DUN dibubarkan pada 22 Januari lalu sekali gus memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tindakan itu menyaksikan Najib akan berdepan pertembungan enam penjuru termasuk melawan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga daripada komponen Pas selain bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang lagi calon Bebas.

Najib berkata, dirinya telah bersedia untuk menerima sebarang tindakan daripada pimpinan parti kerana melanggar arahan dan mengambil keputusan untuk bertanding sebagai Bebas di kerusi DUN berkenaan.

“Saya tahu beberapa hari sebelum PN mengumumkan calonnya dan saya akan dipindahkan ke DUN lain.

"Ini adalah perkara yang tidak adil kepada penduduk di kawasan saya berkhidmat sebelum ini (Bukit Pasir).

“Pas berhak mengambil sebarang keputusan atas tindakan saya ini, tetapi saya harap mereka dapat tahu mengapa saya lakukan begini.

"Semuanya kerana urusan saya di DUN Bukit Pasir masih belum disempurnakan,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Pada Hari Penamaan Calon PRN Johor bagi kerusi DUN Bukit Pasir, Najib akan menentang Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (PN) dan Johar Siraj (Bebas).

Sebelum ini, pada PRU14, Najib dipilih sebagai ADUN di kawasan berkenaan selepas menang dengan majoriti 1,883 undi mengalahkan Noriah Mahat daripada BN.

*Berita asal di Sinar Harian