Skip to main content

Politik

PRN Johor: Naratif sokongan Cina dingin tidak berlaku di Gambir - Calon PH

PH Mohd Nor Mohd Yusof
Mohd Nor berkata, beliau menerima sambutan positif daripada masyarakat Cina di kawasan berkenaan dan tidak melihat wujud sentimen penolakan terhadap PH.
Advertisement

TANGKAK: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir Mohd Nor Mohd Yusof menepis dakwaan sokongan pengundi Cina terhadap gabungan itu semakin suram menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya berkata, sepanjang tempoh kempen, beliau menerima sambutan positif daripada masyarakat Cina di kawasan berkenaan dan tidak melihat wujud sentimen penolakan terhadap PH.

“Saya dapat sokongan yang paling banyak daripada masyarakat Cina, tidak ada isu yang mengatakan mereka menolak atau dingin.

“Sepanjang kempen ini, saya lihat sambutan daripada masyarakat Cina sangat baik dan saya tidak nampak naratif seperti yang dimainkan,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata, kehadiran pemimpin utama PH termasuk Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen di Gambir turut memberi kesan positif terhadap penerimaan masyarakat terhadap gabungan itu.

“Kehadiran PMX amat membantu kempen di sini kerana ramai mengidolakannya dari segi bagaimana beliau menguruskan kerajaan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Nor berkata isu kemudahan asas menjadi antara perkara utama dibangkitkan penduduk sepanjang sesi turun padang.

Beliau berkata, antara aduan yang diterima melibatkan keadaan jalan kampung, kekurangan lampu jalan serta masalah capaian internet di beberapa kawasan.

“Antara aduan utama masyarakat adalah berkaitan jalan masuk ke kampung, ada yang masih belum berturap, sempit dan ada jalan yang tinggi sehingga boleh membahayakan penunggang motosikal.

“Selain itu, banyak kawasan kampung yang mempunyai lorong-lorong kecil dan keadaan gelap kerana kekurangan lampu jalan,” katanya.

Beliau menambah, isu internet juga perlu diberi perhatian kerana jaringan komunikasi yang lebih baik penting untuk urusan harian penduduk.

Katanya, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, beliau akan memberi tumpuan terhadap tiga perkara utama berkenaan. 

PRN Johor menyaksikan PH menampilkan Mohd Nor sebagai calon DUN Gambir, antara kawasan yang menjadi tumpuan dalam saingan tiga penjuru pada pilihan raya negeri kali ini.

Dua calon lain ialah penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani dan calon Perikatan Nasional (PN), Suraya Sulaiman.

Must Watch Video

Advertisement