PRN Johor: Penyertaan Pejuang kerana tidak mahu kumpulan rasuah diberi kuasa - Tun M

Hasimi Muhamad
Februari 5, 2022 03:44 MYT
Dr Mahathir berkata, sekiranya itu berlaku, beliau mendakwa kumpulan berkenaan akan terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama, dan negara - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Penglibatan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang kerana tidak mahu kumpulan yang tidak amanah, rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya itu berlaku, beliau mendakwa kumpulan berkenaan akan terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.
Tegas bekas Perdana Menteri itu lagi, kuasa yang ada oleh seseorang pemimpin bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuaskan nafsu duniawi.
"(Penyertaan parti Pejuang) untuk melepaskan negeri daripada cengkaman mereka yang sedemikian.
"Kerana itu perjuangan ini menjadi satu tanggungjawab, satu amanah yang perlu dipikul oleh setiap daripada kita yang mempunyai kesedaran," katanya dalam surat bertarikh hari ini yang ditujukan kepada ahli-ahli Pejuang.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, parti Pejuang ditubuhkan oleh mereka yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan kerana prinsip perjuangan.
Bahkan, Dr Mahathir menambah, Pejuang juga berbeza kerana terdiri daripada mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.
Katanya lagi, ahli-ahli Pejuang di Johor seharusnya berasa bangga kerana dipimpin oleh Bendahari Agung Pejuang, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh, yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan.
"Dr Shahruddin berdiri sebagai bukti bahawa pejuang-pejuang kita tidak meletak kepentingan diri sebagai objektif perjuangan.
"Namun, kita juga sedar laluan yang kita ambil bukanlah mudah. Tetapi perjuangan lahir daripada jalan-jalan yang berliku yang penuh dengan onak dan duri," ujar beliau lagi.
Dalam masa sama, Dr Mahathir menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama ahli-ahli Pejuang bagi menghadapi PRN tersebut berikutan masalah kesihatan.
Walaupun beliau sedar ramai yang mempersoalkan kenapa tidak menumpukan kepada ibadat dan perkara-perkara akhirat, tetapi Dr Mahathir berkata, perjuangan untuk negara tidak pernah bernoktah.
"Perjuangan juga bagi saya satu ibadah, malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan.
"Tetapi itu hak masing-masing. Yang penting niat dan tujuan kita melakukan sesuatu," kata Dr Mahathir.
Pejuang akan bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan majoriti Melayu pada PRN Johor nanti.
Ia merupakan penyertaan pertama Pejuang dalam pilihan raya selepas menolak untuk bertanding dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.
#Mahathir Mohamad #Pejuang #PRN Johor #Politik Malaysia