Skip to main content

Politik

PRN Johor: PH tidak mahu Johor sekadar 'feeder' kepada Singapura – Amirudin Shari

JOHOR BAHRU, 3 Julai -- Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari memberi ucapan pada Majlis Peluncuran Manifesto Harapan Johor Untuk Semua hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHAR
Amirudin berkata Johor tidak boleh terus berperanan sebagai penyokong kepada pertumbuhan ekonomi negara jiran semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebuah negeri yang menjana peluang, bakat dan kekayaan sendiri. -Gambar Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) mahu melihat Johor muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi yang berdiri atas kekuatannya sendiri dan tidak lagi dilihat sekadar sebagai negeri penyokong atau 'feeder' kepada Singapura.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Johor mempunyai segala prasyarat untuk berkembang sebagai hab ekonomi serantau yang mampu menawarkan pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan tanpa perlu bergantung kepada negara jiran.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata pembangunan Johor selepas ini perlu direncana dengan matlamat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti agar rakyat negeri itu tidak perlu menyeberangi Tambak Johor setiap hari untuk mencari rezeki.

"Rakyat tempatan tidak perlu beratus-ratus ribu menyeberang tambak setiap hari untuk mencari rezeki.

"Kita akan pastikan Johor cukup untuk orang Johor dan orang Malaysia bekerja dengan pendapatan yang tinggi," katanya ketika melancarkan Manifesto Harapan Johor – Johor untuk Semua, di sini, pada Jumaat.

Amirudin berkata Johor tidak boleh terus berperanan sebagai penyokong kepada pertumbuhan ekonomi negara jiran semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebuah negeri yang menjana peluang, bakat dan kekayaan sendiri.

"Johor bukan hanya menjadi feeder ataupun penyangga kepada mana-mana kuasa di dalam daerah dan wilayahnya. Johor mampu untuk berdiri dengan kukuh, yang mampu untuk membawakan harapan baharu kepada Malaysia dan rakyatnya," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui beberapa projek strategik yang sedang mengubah landskap ekonomi negeri itu termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Rapid (RTS) Link serta usaha pemulihan Forest City telah mewujudkan momentum pertumbuhan yang positif.

Namun katanya, manfaat pembangunan tersebut perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi dan peningkatan pendapatan rakyat di seluruh Johor, bukan hanya tertumpu di kawasan selatan negeri.

"Menteri Besar kita nanti adalah Menteri Besar untuk semua. Menteri Besar untuk semua DUN. Menteri Besar untuk semua daerah yang kita nak bangunkan.

"Johor Utara akan kita perkasakan. Johor Tengah akan kita hebatkan. Johor Selatan kita akan perkasakan," katanya lagi.

Dalam ucapannya, Amirudin turut membangkitkan jurang pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar di Johor.

Menurutnya, walaupun Johor Bahru merekodkan purata pendapatan yang lebih tinggi, beberapa kawasan lain termasuk Mersing dan Benut masih mencatatkan pendapatan jauh lebih rendah.

Sehubungan itu, beliau berkata falsafah pembangunan PH untuk Johor adalah memastikan pertumbuhan ekonomi diagihkan secara lebih adil ke seluruh negeri.

"Johor yang adil kepada semua, pembangunan ekonomi yang adil kepada semua. Bangunkan setiap lokaliti dan daerah," katanya.

Mengulas visi jangka panjang negeri itu, Amirudin berkata Johor berpotensi muncul sebagai antara pusat pertumbuhan paling penting di Asia Tenggara jika kekuatan negeri dan Persekutuan dapat digabungkan secara berkesan.

"Kalau orang lihat Malaysia daripada Singapura, dia datang ke Singapura, bila dia seberang tambak, dia kata Malaysia ini hebat kerana nampak Johor ini hebat.

"Johor ini hebat sebagai lambang kejayaan dan kemuliaan Malaysia," katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement