KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan logonya sendiri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi satu kenyataan bersama, majlis itu memaklumkan parti-parti lain akan menggunakan logo PH.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon PH diserahkan kepada Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

"Persetujuan juga dicapai mengenai penggunaan logo yang akan digunakan.

"Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju bahawa logo Pakatan Harapan akan digunakan dan PKR pula akan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat untuk PRN Johor," memetik kenyataan itu.

Selain itu, Majlis Presiden PH juga telah memuktamadkan keputusan mengenai agihan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Majlis Presiden PH  hari ini mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

"Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihan raya Negeri Johor yang akan datang," jelas empat presiden komponen tersebut.

Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Khas yang membincangkan secara khusus mengenai persediaan menghadapi PRN Johor hari ini.