SENGGARANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Menteri Besar Johor yang didakwanya tidak menghadiri mesyuarat bersama kerajaan Persekutuan melibatkan semua Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri bagi membincangkan pembangunan negeri.
Menurut Anwar, mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur dua hari lalu itu dihadiri pemimpin kerajaan negeri dari seluruh negara, namun Johor didakwanya tidak memberikan keutamaan kepada pertemuan berkenaan.
“Saya panggil semua Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri bermesyuarat di Kuala Lumpur. Premier Sarawak datang, semua Menteri Besar datang, semua Ketua Menteri datang. Tapi kadang-kadang Johor ingat itu tidak penting,” katanya ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat, justeru kehadiran semua pemimpin negeri amat penting.
“Kita nak bincang masalah negeri, bagaimana hendak bangunkan negeri. Apa masalahnya? Sebab itu saya harap rakyat, khususnya golongan muda, faham kepentingan memilih pemimpin yang berprinsip dan bertanggungjawab,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa sesuatu kaum tidak akan rugi jika dipimpin oleh pemimpin yang berintegriti dan berprinsip, sebaliknya kerugian berlaku apabila pemimpin bersikap sombong serta gagal memanfaatkan peluang yang diberikan rakyat.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa pentadbirannya mengutamakan kepentingan pihak tertentu, sebaliknya menegaskan komitmennya adalah untuk mentadbir negara secara berintegriti dan memastikan setiap keputusan dibuat demi kepentingan rakyat.