PRN Johor: Rundingan MUDA dengan PH lancar namun belum tentukan kerusi - Syed Saddiq

Bernama
Februari 4, 2022 12:42 MYT
Syed Saddiq berkata bagaimanapun, bentuk kerjasama itu belum diperincikan lagi termasuk pembahagian kerusi juga belum dimuktamadkan dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat kedua-dua pihak apabila tiba masa yang tepat. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Perbincangan dan rundingan antara parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan berjalan lancar, kata Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata bagaimanapun, bentuk kerjasama itu belum diperincikan lagi termasuk pembahagian kerusi juga belum dimuktamadkan dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat kedua-dua pihak apabila tiba masa yang tepat.
"Berjaya atau gagal (rundingan), media akan dimaklumkan tetapi komitmen saya dan fokus MUDA bukan sekadar politik percaturan kerusi," katanya kepada pemberita selepas Kempen Jelajah Mendengar di sini hari ini.
Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata MUDA kini rancak mengadakan Kempen Jelajah Mendengar bersempena PRN yang menyasarkan kira-kira satu juta rakyat Johor dalam tempoh dua minggu bermula semalam.
Beliau berkata menerusi kempen berkenaan, parti itu mahu mendekati rakyat Johor secara dalam talian atau bersemuka untuk mendengar pandangan dan masalah yang dihadapi masyarakat termasuk isu alam sekitar, pekerjaan, rumah dan sebagainya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengundian bagi rakyat Johor di Singapura dan juga pelajar terutama di Sabah dan Sarawak, Syed Saddiq berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharapkan dapat menjadi pemudah cara bagi memastikan rakyat Johor dapat balik mengundi pada PRN nanti.
-- BERNAMA
#PRN Johor #Johor Memilih #pilihan raya negeri #Parti MUDA #Pakatan Harapan #PH #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman