Skip to main content

Politik

PRN Johor: “Tak payah tanya DAP”, Khairy dakwa BN lebih cepat buat keputusan

PRN Johor, Khairy Jamaluddin.
Khairy berucap dalam ceramah kempen di Kota Tinggi pada Jumaat bagi membantu calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Dr Naqib Ghazali yang berdepan pencabar daripada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KOTA TINGGI: Kemenangan Barisan Nasional (BN) secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mampu menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula gabungan itu di peringkat nasional.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pentadbiran kerajaan diterajui BN tanpa perlu bekerjasama dengan gabungan politik lain membolehkan proses membuat keputusan dilaksana dengan lebih pantas.

“Kalau kita uji formula ini, Barisan Nasional menang dengan cemerlang secara solo di Johor, memberi keyakinan kepada kami di Negeri Sembilan, tidak perlu kita bergabung, tak perlu kita pergi cari DAP, kita lawan di Negeri Sembilan solo, kita menang solo di Negeri Sembilan,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kempen di Taman Kota Jaya, di sini, pada Jumaat bagi membantu calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Dr Naqib Ghazali yang berdepan pencabar daripada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kejayaan itu juga membolehkan pentadbiran negeri bergerak lebih pantas tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada parti-parti selain daripada komponen BN.

“Tengok Johor jadi negeri nombor satu kerana tak payah bergabung, buat keputusan tak payah tanya DAP, tak payah tanya PH, tak payah tanya Amanah, tak payah tanya PKR, jalan ke hadapan, itu saja. 

"Saya tiada masalah dengan gabungan tapi bila kita bergabung, nak buat keputusan itu agak lambat. Biasalah bila kita ada kawan-kawan dalam kerajaan daripada parti lain. Jadi Malaysia perlukan kerajaan yang kuat dan stabil macam Johor,” ujarnya.

Khairy berkata, sekiranya formula tersebut berjaya di Johor, ia boleh menjadi asas kepada strategi BN menghadapi pilihan raya negeri lain termasuk di Negeri Sembilan dan Melaka.

“Kalau Johor dah menang, kalau Negeri Sembilan dah menang, kalau Melaka pun kita menang solo, gelombang biru ini…. semua tahu kan dah nak PRU,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan di negeri-negeri berkenaan berpotensi mencetuskan momentum lebih besar bagi mengembalikan  gelombang positif untuk BN menerajui pentadbiran negara.

“Biarlah kita cetuskan gelombang biru dari bumi Panti dan juga negeri Johor Darul Ta’zim ini… tahun depan kita kembalikan Barisan Nasional memerintah Malaysia,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement