BELURAN: UMNO Beluran akan menghantar jentera bagi membantu parti itu memperkuatkan lagi jentera kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua UMNO Beluran, Julie Sabran berkata, hasil perbincangan bersama ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian, seramai 12 AJK akan dihantar ke Johor pada 25 Februari ini.

Menurutnya, PRN Johor amat signifikan kerana akan menjadi medan memperkemaskan lagi jentera kempen sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“…Alhamdulillah UMNO Beluran akan ke Pilihan Raya Negeri Johor. Kita akan hantar jentera seramai 12 orang dan pada 25 Februari ini akan berlepas dari Kota kinabalu ke Johor.

“Kita pun sudah buat persiapan dan kita buat mesyuarat seterusnya menghantar 12 jentera kita akan mewakili UMNO Beluran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Program Penyerahan Bakul Makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Beluran, pada Khamis.

Menurutnya, UMNO Beluran ditugaskan menjaga kawasan di dewan undangan negeri (DUN) Permas, Pasir Gudang.

Oleh itu, pihaknya turut membawa individu yang memiliki kepakaran berkaitan informasi teknologi ke prn terbabit.

“Kita sudah ada pengalaman di Kimanis, di sana pun kita menang besar juga Parlimen Kimanis,,,jadi itulah yang kita gunakan untuk membantu PRN Johor.

“Untuk makluman UMNO Zon Lima Sabah iaitu Kinabatangan, Beluran, Libaran dan Sandakan akan menjaga parlimen Pasir Gudang, DUN Permas.

“Jadi kitapun sudah bersiap sedia da jentera kita, kepakaran IT kitapun ada juga,” katanya.

Julie berkata, pihaknya yakin UMNO Beluran dapat menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada dalam memenangi kerusi-kerusi yang bakal ditandingi UMNO di PRN Johor.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan jentera yang dihantar agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor.

Manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan.

PRN diadakan susulan pembubaran DUN Johor pada 22 Januari lalu.