Skip to main content

Politik

PRN Johor unik, medan terjemah kematangan demokrasi

BATU PAHAT, 1 Julai -- Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berucap pada Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Senggarang hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mujahid berucap pada Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan sempena kempen PRN Johor ke-16 di Senggarang, Batu Pahat, malam tadi. --fotoBERNAMA
Advertisement

BATU PAHAT: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 merupakan medan terbaik untuk rakyat menterjemahkan kematangan demokrasi melalui penyelarasan pentadbiran antara peringkat negeri dan Persekutuan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata landskap politik Johor ketika ini adalah unik memandangkan Pakatan Harapan (PH) berperanan sebagai pengimbang kepada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Namun, pada masa sama PH dan BN merupakan rakan strategik dalam Kerajaan Persekutuan, katanya.

Beliau berkata keunikan tersebut merupakan satu dinamika baharu yang mampu memberikan kestabilan lebih kukuh sekiranya mandat diberikan kepada PH untuk bergerak seiring dengan agenda Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Inilah keistimewaan sistem demokrasi diamalkan di Malaysia yang memberikan kebebasan yang luas kepada rakyatnya, termasuk hak untuk menubuhkan parti politik dan membuat keputusan masing-masing," katanya ketika berucap pada Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di sini, malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Pengarah Pilihanraya Bersama PKR Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas mengenai kepelbagaian parti yang bertanding pada PRN kali ini, Mujahid berkata ia membuktikan kesuburan amalan demokrasi di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kunci kepada kemakmuran Johor adalah melalui penyelarasan dasar yang lebih efektif antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengundi di Johor untuk memberikan mandat kepada PH bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kemakmuran negeri dapat diselaraskan dengan agenda Kerajaan Persekutuan.

Seramai 172 calon bertanding pada PRN Johor yang akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.  

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement