Skip to main content

Politik

PRN Johor: Wanita BN mahu capai lebih 26 peratus calon wanita - Noraini

Astro AWANI
Noraini bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama media ke Klang Valley Distribution Terminal (KVDT) di Puchong pada Rabu. - Foto AWANI/ Ikhwan Lee

PUTRAJAYA: Wanita Barisan Nasional (BN) berhasrat mengekalkan malah meningkatkan jumlah representasi calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, memandangkan negeri itu kini merekodkan peratusan wakil rakyat wanita tertinggi bagi gabungan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ketika ini komitmen BN terhadap agenda memperkasakan wanita terbukti di Johor apabila sasaran representasi golongan itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) telah mencecah antara 20 hingga 26 peratus.

"Calon wanita sudah semestinya kami, wanita BN memang mahukan supaya mereka dapat diketengahkan. Ini kerana Johor merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah calon wanita BN paling tinggi setakat ini, iaitu sekitar (lebih) 25 atau 26 peratus.

"Kita akan cuba sampaikan sasaran kita itu kerana pencapaian 26 peratus setakat ini adalah yang paling tinggi pernah kita perolehi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama media ke Klang Valley Distribution Terminal (KVDT) di Puchong pada Rabu.

Mengulas mengenai status penyandang (incumbent) kerusi DUN sedia ada daripada sayap itu, Noraini menjelaskan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke meja rundingan bersama pucuk pimpinan tertinggi parti dan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

"Bagi calon wanita yang menang sebelum ini (wakil rakyat sedia ada), perkara tersebut kita akan bincangkan dengan Menteri Besar (Johor) dan juga dengan Presiden Parti (UMNO)," katanya lagi.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu menambah, wanita BN optimis prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh wakil rakyat wanita sebelum ini mampu menjadi asas kukuh untuk pimpinan parti terus memberikan kepercayaan kepada mereka dalam PRN Johor.

Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 dalam tempoh 60 hari.

Must Watch Video

Advertisement