JOHOR BAHRU: Tiada pergolakan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tebrau, dengan presiden parti Tan Sri Mujyiddin Yassin, sehingga menyebabkan Mazlan Bujang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Bahagian dan keluar parti serta-merta.

Sebaliknya, jelas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Kamaruzzaman Abu, perkara itu hanya krisis peribadi antara dua pemimpin berkenaan.

Tambahnya lagi, dakwaan Mazlan baru-baru ini bahawa sejumlah 23 ahli Bersatu Tebrau, termasuk ketua-ketua cawangan dan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian bertindak keluar parti, juga tidak benar.

“Kalau lihat dari segi politik, kalau tidak ada kepercayaan, kenapa kedua-dua Exco (Mazlan Bujang dan Datuk Mohd Izhar Ahmad) ini tidak bertindak keluar parti lebih awal.

“Kenapa apabila berlaku pilihan raya umum, atau pilihan raya negeri (PRN), baru nak berlaku perkara seperti ini. Jika tidak percaya, benda itu (keluar parti) dah lama. Kalau mereka kata bijak, mereka akan ambil keputusan itu lebih awal,” katanya lagi.

BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Pada Khamis, Mazlan, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, mengumumkan keluar parti atas alasan tidak percaya kepada kepimpinan Muhyiddin.

Selain itu, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya itu berkata, lebih ramai ahli Bersatu dijangka akan mengikuti jejak langkah beliau untuk meninggalkan parti.

Awal hari ini, Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad, yang juga bekas ADUN Larkin, turut membuat keputusan yang sama.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman berkata, beliau selaku Pengarah Jentera PRN Johor untuk Tebrau, telah beberapa kali mencadangkan nama Mazlan untuk terus kekal di DUN Puteri Wangsa, namun ditolak oleh Mazlan sendiri.

“Bahagian Tebrau telah cadangkan nama dia, dia sendiri tolak. Sejak tahun lepas, Januari 2021. Saya kena buat keputusan sebab saya nak sampaikan cadangan nama calon kepada Pengarah Jentera PRU Johor,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kesan tindakan Mazlan itu kepada parti, Kamaruzzaman berkata, ia tidak akan mengganggu persiapan Bersatu Tebrau untuk menghadapi PRN kali ini.

Tambahnya lagi, Bersatu Tebrau sudah mencadangkan tiga nama masing-masing untuk kerusi DUN Tiram dan Puteri Wangsa, namun ia tertakluk kepada kelulusan pucuk pimpinan Bersatu.