ALOR SETAR: Perbincangan mengenai calon Menteri Besar Kedah bagi gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak masih belum dibuat, kata Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah itu, nama berkenaan hanya akan diputuskan sebaik sahaja proses pembahagian kerusi antara parti itu dan BN selesai dilaksanakan.

"Kami (bagi peringkat PH dan BN Kedah) tidak berbincang apa-apa lagi, semua ini (termasuk siapa calon Menteri Besar) akan dapat dicapai selepas kita dapat keputusan daripada rundingan kerusi,

"Yang kedua (pemilihan calon Menterj Besar juga) bergantung kepada keputusan secara menyeluruh, (pimpinan di peringkat) nasional akan tentukan sebab (ia) akan ambil kira juga (semua aspek), kalau di sini kawan (parti tertentu) ini Menteri Besar atau Ketua Menteri, (negeri lain serah kepada parti lain pula).

"Tetapi saya tidak tahu apa (keputusan akhir yang) akan diputuskan, kalau tanya BN, (memang) BN nak jadi Menteri Besar, (kalau) tanya PH, PH (pun) mahu jadi Menteri Besar, (jadi) benda itu hanya akan dapat dimuktamadkan selepas perundingan kerusi dan perbincangan menyeluruh (selesai)," kelas Mahfuz lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program moreh bersama media Kedah di sini, pada Selasa.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah yang dibentuk beberapa hari lalu masih lalu belum memulakan mesyuarat melibatkan pengagihan kerusi di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Bagaimanapun, jelasnya, perbincangan selepas ini akan tertumpu kepada beberapa perkara termasuk melibatkan kedudukan kerusi yang disandang, kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika bersama PH serta kerusi yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebelum ini, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14 dalam menghadapi PRN di enam negeri kelak.

Jelasnya, kata sepakat itu dicapai menerusi perbincangan awal membabitkan pembahagian kerusi untuk PH dan BN pada PRN, baru-baru ini.

Tambah beliau, perbincangan peringkat negeri sudah dijalankan di Selangor dan Kedah manakala bagi Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijadualkan dalam tempoh terdekat.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah memiliki 21 kerusi DUN melibatkan 15 daripada Pas dan enam daripada Bersatu.

Manakala, di pihak pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memiliki lima kerusi DUN, Parti Amanah Negara (tiga kerusi DUN), DAP (dua kerusi DUN), Barisan Nasional (dua kerusi DUN) dan Parti Pejuang Tanah Air (dua kerusi DUN).

Kerusi DUN Gurun kosong selepas penyandangnya, Datuk Johari Abdul yang kini merupakan Speaker Dewan Rakyat, mengosongkan kerusi berkenaan pada 17 Disember tahun lalu.