KUALA LUMPUR: UMNO sekali lagi berdepan dengan penolakan orang Melayu selepas keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam menyaksikan parti Melayu itu hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Ia susulan dipercayai tindakan parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Menurut penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub perkara itu dilihat diterjemahkan secara jelas, bukan sahaja ahli-ahli UMNO yang mengundi Perikatan Nasional (PN), malah majoriti pengundi Melayu yang kecewa dengan tindakan UMNO untuk bersekongkol dengan PH.

"Malah apabila orang Melayu beralih undi kepada PN, ini juga memperlihatkan bahawa mereka tidak selesa untuk terus memilih UMNO yang berada dalam kerjasama politik melibatkan DAP," katanya di sini hari ini.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) itu menambah semua pihak tidak boleh menafikan bahawa penyokong dan ahli akar umbi UMNO majoritinya menolak kerjasama politik dengan DAP.

Beliau berkata, rasa kecewa dalam kalangan pengundi Melayu bertambah parah apabila Datuk Seri Ahmad Zahid yang kekal menerajui UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjalinkan kerjasama untuk membentuk kerajaan bersama PH dan DAP, sehingga mengakibatkan UMNO ditolak sekali lagi.

Mohammad Tawfik juga tidak menolak kemungkinan bahawa UMNO akan terus ditolak oleh rakyat negara ini pada PRU akan datang jika mereka terus kekal dalam kerajaan semasa.

"Saya berpandangan UMNO perlu lakukan sesuatu dengan drastik untuk mengembalikan kepercayan dan keyakinan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga ahlinya yang kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti tersebut," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kepimpinan tertinggi UMNO perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan besar yang dihadapi UMNO.

Malah Mohammad Tawfik berpandangan kepimpinan parti Melayu itu perlu mencontohi pemimpin lalu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berundur daripada jawatan Presiden selepas UMNO-BN kecundang dan mengalami kekalahan luar biasa dalam PRU12 dan PRU14 lalu.

Pada PRN semalam, BN hanya memenangi dua kerusi Selangor, Negeri Sembilan (14), Kelantan (dua); manakala satu di Pulau Pinang.

Lebih mengejutkan apabila kerusi yang disandang dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu di DUN Kijal dan Seberang Takir serta beberapa kubu kuat BN di Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Telemung, Batu Rakit, Bukit Besi, Air Putih dan Langkap turut tumbang.