PRN: Kemenangan Azmin di Hulu Kelang tidak signifikan - Amirudin

Fareez Azman
Ogos 12, 2023 17:00 MYT
Kata Amirudin, majoriti 1,000 yang menyebelahi Mohamed Azmin berikutan beberapa faktor termasuk kadar keluar mengundi yang tidak memberangsangkan. - Astro AWANI/Shahir Omar
KLANG: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan kemenangan seteru politiknya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak signifikan.
Ujarnya, kelebihan majoriti 1,000 yang menyebelahi Mohamed Azmin berikutan beberapa faktor termasuk kadar keluar mengundi yang tidak memberangsangkan.
"Sebahagiannya kadar turun mengundi tidak memberangsangkan, pengaruh calon, kita tak tewas terlalu besar.
"Kemenangan 1,000 undi tidak begitu signifikan untuk Pengerusi PN yang berjanji yakin nak menubuhkan kerajaan. Ternyata Kerajaan Perpaduan malam ini menubuhkan kerajaan di negeri Selangor," katanya lagi.
Mohamed Azmin Ali menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Hulu Kelang menewaskan pencabarnya dari PH, Juwairiya Zulkifli dengan majoriti 1,617.
Mohamed Azmin meraih 25,597 undi, manakala Juwairiya meraih 23,980 undi.
Sejumlah 71,702 pengundi berdaftar di N.18 Hulu Kelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.
#PRN #Mohamed Azmin Ali #Amirudin Shari #hulu kelang #Selangor #politik