TASEK GELUGOR: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, P Ramasamy supaya menimbang semula keputusannya untuk keluar daripada parti itu.

Kon Yeow turut mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Ramasamy pada pagi Khamis.

Menurutnya, sebelum ini pernah memujuk Ramasamy secara lisan sebelum keputusan tersebut dibuat.

"Beliau (Ramasamy) sebelum ini beritahu boleh terima keputusan bahawa tidak dicalonkan dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

"Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan diuruskan oleh mereka yang terlibat dan hanya dimaklumkan pada hari pengumuman (calon) dibuat.

"Perkara itu menyebabkan beliau buat keputusan untuk keluar parti walau pun saya dah cuba pujuk.

Beliau ada berjumpa dengan saya, tetapi ketika itu hanya secara 'verbal' dan saya sudah cuba pujuk," katanya ketika ditemui selepas jelajah mesra di sebuah tokong di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, tindakan Ramasamy itu sedikit sebanyak akan menjejaskan jumlah undi kaum India terhadap DAP di negeri ini.

"Sedikit sebanyak tu ada.

"Ramasamy berkhidmat selama tiga penggal (15 tahun) di kawasan Perai, memang ada penyokong dan pengikut beliau.

"Sama ada pengikut dan penyokong akan buat undian protes atau tidak, itu terserah kepada budi bicara atau pilihan individu (pengundi)," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau tidak akan memegang jawatan sebagai Ketua Menteri selama lima tahun, Kon Yeow berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengumumkannya sebelum ini.

"Anthony umumkan bahawa ia (tidak akan menjadi Ketua Menteri dalam tempoh yang penuh) tidak akan berlaku," katanya.

Mengenai dakwaan Ramasamy berhubung kemimpinan DAP pusat sudah memilih barisan Exco Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, beliau tidak boleh menjawab mengenai isu itu berikutan kini hanya sebagai Ketua Menteri 'caretaker'.

"Saya tak boleh komen sebab saya bukan Ketua Menteri, hanya Ketua Menteri caretaker," katanya.

Sebelum ini, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II, mengumumkan keluar parti DAP dan meletakkan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa pada Khamis.

Ramasamy menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli DAP dan Pengerusi DAP Cawangan Chai Leng Park kepada Anthony Loke pada jam 8.24 pagi manakala surat peletkkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang kepada Kon Yeow. - Sinar Harian