AYER KEROH: Proses pengundian awal melibatkan pegawai dan anggota polis di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 31 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negeri dengan 24 daripadanya melibatkan pusat pengundian bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Pusat pengundian di IPK melibatkan jumlah pegawai dan anggota polis teramai iaitu kira-kira 739 individu, manakala seramai 555 anggota akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan seramai 238 di IPD Jasin dan selebihnya di 21 pusat pengundian seluruh negeri.

Dua saluran mengundi dilaksanakan di pusat pengundian ini selain sebuah khemah khas disediakan kepada pengundi yang mempunyai gejala COVID-19 dan akan dipantau oleh petugas yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Kawalan ketat juga dilaksanakan oleh petugas SPR bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dengan melaksanakan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk utama.

Selain itu, penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan juga dipantau di pusat pengundian tersebut selain perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat pengundian.

Proses pengundian juga berjalan ringkas yang mana setiap pegawai dan anggota yang sudah selesai menunaikan tanggungjawab akan terus meninggalkan dewan pengundian bagi mengelakkan kesesakan.

SPR sebelum ini menetapkan 8 November sebagai tarikh hari penamaan calon, hari pengundi awal pada 16 November dan hari mengundi pada 20 November depan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: 11,557 mengundi awal hari ini

PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 orang pengundi di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.