KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari hari ini, gagal mencabar keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dalam usaha membatalkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Noorin Badaruddin yang menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Adly.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata, proses membuatkan keputusan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bagi membubarkan DUN tidak boleh dipertikai.

Ia juga tidak boleh diubah menerusi semakan kehakiman.

Adly, 50 tahun, selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan bekas Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga dan keempat masing-masing ialah Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) dan bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. 

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Adly menuntut perisytiharan nasihat responden pertama terhadap responden keempat pada atau sekitar 4 Okt lalu, untuk membubarkan DUN Melaka ke-14, berniat jahat atau mala fide.

Beliau mendakwa responden pertama ketika itu tidak lagi mempunyai sokongan besar Ahli DUN (ADUN) Melaka.

Selain itu, Adly turut menyatakan, responden pertama bertindak secara tidak munasabah dengan menasihati responden keempat membubarkan DUN Melaka, dalam keadaan pandemik atau endemik COVID-19 yang sedang berlaku.

Beliau yang juga bekas ketua menteri Melaka turut memohon perintah agar writ dan notis yang dikeluarkan responden ketiga (SPR) untuk mengadakan PRN pada 20 Nov ini, dibatalkan serta-merta.

Adly juga memohon perisytiharan bahawa proklamasi responden keempat mengenai pembubaran DUN dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan Melaka bertarikh 5 Okt lalu tidak sah, kerana nasihat itu dibuat ketika Sulaiman tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN Melaka.