KOTA BHARU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata parti itu diperuntukkan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata pembahagian kerusi tersebut adalah hasil perbincangan di peringkat Pakatan Harapan (PH) namun keputusan akhir hanya akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden gabungan politik berkenaan.
"Kami akan memuktamadkan perkara itu dalam Majlis Presiden dan mengumumkannya pada 24 Okt ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Amanah peringkat Negeri Kelantan 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah sebenar kerusi yang bakal ditandingi parti itu akan mengambil kira penyertaan Amanah dalam kerjasama lebih luas yang kini masih dalam perbincangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 31 Okt ini sebagai tarikh penamaan calon PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov dan hari mengundi 14 Nov susulan pembubaran DUN pada 23 Sept lepas.
-- BERNAMA