Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Belum ada perkembangan konkrit kerjasama PH dengan parti lain – Fuziah

Fuziah berkata PH dijangka bertanding di lebih 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan sembilan daripadanya diperuntukkan kepada PKR. - Gambar fail
Fuziah berkata PH dijangka bertanding di lebih 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan sembilan daripadanya diperuntukkan kepada PKR. - Gambar fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pakatan Harapan belum mencapai persetujuan konkrit mengenai kerjasama politik dengan parti lain bagi menghadapi PRN Melaka pada 14 November ini.
  • Pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah telah dimuktamadkan, dengan PH dijangka bertanding lebih 20 kerusi dan sembilan diperuntukkan kepada PKR.
  • Pengerusi PH dijadualkan mengumumkan senarai calon pada 24 Oktober, manakala hari pengundian PRN Melaka ditetapkan pada 14 November.

KUANTAN: Pakatan Harapan (PH) belum mencapai sebarang persetujuan konkrit berhubung kemungkinan kerjasama politik dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 Nov ini.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Fuziah Salleh berkata bagaimanapun, rundingan pembahagian kerusi antara tiga parti komponen PH, iaitu PKR, DAP dan Amanah telah dimuktamadkan.

Beliau berkata PH dijangka bertanding di lebih 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan sembilan daripadanya diperuntukkan kepada PKR.

“Setakat ini, belum ada perkara konkrit berhubung kerjasama politik dengan parti lain. Rundingan pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah telah selesai,” katanya pada sidang media selepas menutup Program Akses Peruncitan 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata Pengerusi PH merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengumumkan senarai calon gabungan itu pada 24 Okt ini di Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 31 Okt sebagai hari penamaan calon, 10 Nov bagi pengundian awal dan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka.

PRN Melaka pada 2021 menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement