REMBIA: Selain manifesto parti yang telah diumumkan, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Jailani Khamis turut menawarkan enam Aku Janji sendiri dengan meletakkan posisi penyandang kerusi sebagai kelebihan buat dirinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri yakin, pencapaian yang telah dilakukan di kawasan DUN itu sejak selepas Pilihan Raya Umum (PRU)14 lalu menjadi ‘kayu ukur’ kepada pengundi untuk terus memberi mandat kepadanya meskipun berdepan kekangan berkempen.

Antara enam teras yang bakal dibawa ialah pendikan, keagamaan, kebajikan, isu anak muda dan belia, serta dua elemen baharu yang ditambah daripada manifestonya terdahulu pada PRU lalu iaitu ekonomi dan sektor perumahan.

“Berdasarkan sekatan SOP ini memanglah terhad yang mana sehingga kini pun saya baru sempat jumpa kira-kira 20 peratus pengundi di kawasan DUN ini kerana kita tidak boleh berceramah dan sebagainya.

“Namun apa yang kita buat, kita cetak pencapaian yang telah saya lakukan kepada rakyat di DUN ini sepanjang tiga tahun empat bulan menyandang jawatan sebagai wakil rakyat dan kita hantar sahaja melalui peti surat rumah ke rumah tanpa bersemuka dengan pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Taman Saujana Height, di sini pada Isnin.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Perang' PRN Melaka sudah bermula, undi awal esok

PRN Melaka | Bertanding dalam ‘daif’, pencapaian lalu penentu

Dalam pada itu mengulas soal komitmennya menentang amalan rasuah, katanya perkara itu tidak seharusnya dipertikaikan memandangkan beliau yakin iltizam semua calon terutamanya BN adalah bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Maaf cakap, kita (BN) bertanding dalam keadaan daif kerana kita tidak mempunyai kekuatan kewangan, bendera kita juga kalah dengan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) dan kualiti (bendera) juga lebih baik.

“Kalau nak kata rasuah, tuan-tuan boleh nilai soal rasuah datang daripada mana, jadi jangan sebut sahaja perangi rasuah tetapi gaya hidup tidak melambangkan agama kerana kalau kita hendak perangi rasuah, kita harus melambangkan apa yang dilafazkan,” katanya lagi.

Jailani yang juga penyandang kerusi DUN itu bakal berdepan saingan lima penjuru menentang bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Zamzuri Ariffin (Perikatan Nasional), Zamri Pakiri (Pakatan Harapan) dan dua calon Bebas K.Murali dan Sabarudin Kudus.