MASJID TANAH: Calon kerusi N02 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH) berharap pengundi di kawasan berkenaan dapat memberi mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini. 

Jelasnya, faktor pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati dijangka memberi ruang kepadanya untuk memenangi kerusi DUN terbabit.

"Dengan susuk dua calon politik ini, pada saya tak jadi masalah di mana kami akan hadapi, tidak kira siapa menentang kami. Kami tetap akan tentang, itu semangat juang yang telah ditunjukkan bukti Presiden PKR.

"Lawan tetap lawan, pada saya itu tak jadi masalah, masing-masing ada kelebihan mungkin pada Datuk Mas Ermieyati kita tahu kelebihan dia di mana, begitu juga Datuk Ab Rauf.

"Apabila kita lihat UMNO dan PN dia sama-sama bertentangan di antara mereka, apa yang saya harapkan pertentangan mereka ini akan berikan kemenangan kepada PH," jelasnya.

Meskipun mengakui pertandingan di DUN terbabit bukan kerja mudah, Zainal yakin banyak perubahan dan pembelaan dapat dibawanya jika dipilih pada 20 November depan.

"Sekiranya saya dipilih sebagai pemimpin di sini, pertama sekali saya akan cuba mendekati rakyat sebanyak mungkin dan perkara utama saya akan ambil perhatian ialah masalah kebajikan.

"Rata-rata maklum kawasan kampung dan luar bandar ada (penduduk) miskin tegar ditambah pula dengan COVID-19, makna kehidupan mereka bermasalah. Jadi saya akan cuba membantu mereka menaikkan taraf hidup mereka," ujar Zainal lagi.

Mengulas lanjut prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas Zainal, ia amat mencabar terutama kepada calon baharu sepertinya.

"Harapan saya biarlah kita ini diberi peluang... kami (calon) yang baharu ini, jadi kami boleh menyampaikan apa yang sepatutnya yang mereka (pengundi) tahu.

"Mungkin cara lain kita boleh cuba, cara media sosial menerusi aplikasi WhatsApp dan sebagainya.

"Kesimpulannya sekiranya berlaku SOP yang ada sekarang, perkara ini (kempen) kita pindah kepada media sosial," jelasnya lagi.

DUN Tanjung Bidara akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Zainal, Ab Rauf dan Mas Ermieyati.