Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: BN 'gerak solo'? Nanti dulu - Ab Rauf

MELAKA, 22 Sept - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap pada sidang media di Kompleks Seri Negeri hari ini. Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok, bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. - fotoBERNAMA
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan, tumpuan ketika ini adalah untuk menyempurnakan proses pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. - Foto Bernama
Advertisement

MELAKA: Pendirian sama ada Barisan Nasional (BN) akan bergerak secara solo atau mengadakan kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hanya akan dimuktamadkan selepas proses rundingan selesai.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan, tumpuan ketika ini adalah untuk menyempurnakan proses pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terlebih dahulu sebelum memperincikan strategi atau hala tuju parti.

Mengulas sama ada BN bakal bertanding secara solo, beliau yang juga pengerusi BN negeri meminta semua pihak bersabar sehingga keputusan perbincangan dicapai.

“Kita selesaikan ini (pembubaran) dululah. Selepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita. Saya pasti akan ada rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat.

“(Sama ada bergerak solo) atau tak, itu saya beritahu nanti bila kita dah putuskan rundingan semua," katanya dalam sidang media khas di Seri Negeri, hari ini.

Menurut Ab Rauf, sebarang bentuk kerjasama politik atau pakatan yang bakal dibentuk kelak bukan berasaskan kepentingan peribadi, sebaliknya demi kelangsungan pentadbiran dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini.

“Yang paling utama bukan untuk kepentingan saya, tetapi kepentingan bagaimana kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut enggan mengulas sama ada BN akan mengekalkan penyandang serta calon sebelum ini, atau menampilkan wajah-wajah baharu bagi PRN akan datang.

“Itu saya tak nak jawab sekaranglah, nanti dululah. Banyak faktor yang perlu diambil kira dan adalah tidak adil untuk saya mengumumkan calon pada hari yang sama DUN dibubarkan.

“Kita ambil banyak faktor, jadi tak bolehlah hari ini saya nak beritahu bubar, hari ini juga nak beritahu siapa calon,” tambah beliau.

Terdahulu, Ab Rauf mengumumkan DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa esok selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
 

Must Watch Video

Advertisement