JASIN: Calon-calon baharu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini diyakini akan membawa perubahan besar kepada pentadbiran negeri itu.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, 80 peratus calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini adalah muka baharu serta muda yang mempunyai pelbagai kebolehan.

"Dr Muhamad Akmal Salleh (calon DUN Merlimau), Datuk Khaidhirah Abu Zahar (DUN Rim), Datuk Rais Yassin (DUN Paya Rumput), Fairul Nizam Roslan (DUN Asahan), Mohd Noor Helmy Abdul Halem (DUN Duyong) adalah antara calon-calon muda yang menjadi taruhan BN untuk menarik orang muda.

"Fairul adalah tumpuan utama kali ini kerana beliau adalah Ketua Pemuda UMNO negeri dan lawan beliau adalah Datuk Seri Idris Haron.

"Kemenangan Fairul merupakan simbolik kepada kejayaan pemuda untuk menunjukkan penolakan kepada tindakan Idris yang menjadi punca diadakan PRN Melaka," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Bastien ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Gajah di dalam DUN Sg. Rambai ketika program pengedaran akhbar dan risalah kepada 600 rumah di tiga kampung bersama Pemuda UMNO Kluang.

"Ini juga satu pendekatan baru tanpa perlu berjumpa dan bersemuka dengan pengundi. Komunikasi yang terbatas dan selamat. We have to do it. Hari akhir merayu," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, pengundi Melaka akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan negeri dalam keadaan yang belum pernah terjadi dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

"Kita lihat pelbagai cara digunakan oleh BN tetapi keberkesanannya akan diukur esok. Pematuhan kepada cara pilihan raya yang ketat serta SOP  sepanjang tempoh berkempen akan teruji.

"Ini akan menjadi kayu-ukur kepada keupayaan negara untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) di masa akan datang. Rakyat di negeri-lain sedang memerhati kesan daripada PRN ini dan akan membandingkannya dengan apa yang berlaku semasa PRN Sabah," katanya.

Katanya lagi, pengundi di Melaka tiada pilihan lain tetapi mesti mengundi bagi memilih pentadbir kerajaan terbaik untuk membantu mereka mendepani kehidupan pasca COVID-19.

"Banyak cabaran yang akan mereka tempuhi selepas ini dan mengangkat kerajaan yang betul untuk bersama mereka menjadi keutamaan. Esok pula, SPR akan diuji kebolehan mereka menjalankan proses pengundian," katanya.