PRN Melaka: Calon Ketua Menteri PN diumum esok - Hamzah

Fareez Azman
November 17, 2021 08:22 MYT
Jelas Hamzah, perbincangan telah dibuat untuk menampilkan calon yang benar-benar layak serta diterima rakyat di Negeri Melaka. - Foto BERNAMA
MELAKA: Teka-teki siapa calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diketahui esok.
Perkara itu dimaklumkan, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Rabu.
Jelasnya, perbincangan telah dibuat untuk menampilkan calon yang benar-benar layak serta diterima rakyat di Negeri Melaka.
"Kita akan membincangkan isu ini bersama parti-parti komponen yang lain, saya sendiri telah bertemu dengan Presiden Bersatu, saya sebagai Setiausaha Agung PN, juga telah memberikan pandangan saya.
"Bahawa untuk kita memilih seorang calon biarlah calon diterima masyarakat keseluruhan dan boleh membantu dokongan mereka di atas pagar," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas makan tengah hari bersama calon PN N.06 DUN Rembia, Zamzuri Arifin.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: 89.9 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab babit 10,390 pengundi - SPR
Tambah Hamzah lagi, beliau juga tidak menolak sekiranya calon terbabit merupakan wanita.
"Jadi kalau ianya datang daripada seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa cerita Tun Teja yang juga berperanan membangunkan Negeri Melaka.
"Apa salahnya kalau kali ini kita letakkan seorang wanita, kalau bukan wanita kita pasti akan umumkan daripada kalangan calon kita.
"Itu menunjukkan kita ada calon lain, begitu juga Datuk Rafiq, kita ada beberapa doktor profesional, ada jurutera, jadi ini akan kita bincangkan dan akan umumkan esok hari (Khamis)," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut berkaitan pecutan terakhir sebelum Hari Pengundian PRN Melaka pada 20 November depan, Hamzah yakin rakyat di negeri itu bakal memberikan peluang kepada PN untuk mentadbir
Melaka.
"Kalau Melaka satu ketika dahulu negeri masyhur 1,300 tahun dahulu, saya yakin dengan gelombang yang ada hari ini untuk mengembalikan (kegemilangan Melaka) itu.
"Kita terpaksa mencari pemimpin penuh integriti, saya yakin ianya datang daripada PN," jelasnya lagi.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini (20 Nov).
#PRN Melaka #Hamzah Zainudin #Ketua Menteri #Ketua Menteri Melaka