POLITICS

PRN Melaka: DAP kekal bertanding lapan kerusi, pertaruh dua muka baharu

Raja Hisyam Raja Zaid 05/11/2021 | 08:38 MYT
DAP kekal bertanding merebut lapan kerusi DUN pada PRN Melaka, pada 20 November ini dengan mempertaruhkan dua muka baharu.
KUALA LUMPUR: DAP kekal bertanding merebut lapan kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini dengan mempertaruhkan dua muka baharu.
Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam sidang media yang diadakan sebentar tadi, dua muka baharu tersebut akan bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu dan Bandar Hilir.
“Bagi N15 Pengkalan Batu kita calonkan Muhamad Danish Zainudin, muka baharu untuk Pengkalan Batu di mana bekas DUN telahh pun melompat parti daripada DAP,” katanya.
Manakala, seorang lagi muka baharu yang bakal bertanding di kerusi N22 Bandar Hilir merupakan calon wanita iaitu Leng Chau Yen.
Bagi enam kerusi lain, parti itu akan mengekalkan muka lama bagi kembali bertanding pada pilhan raya tersebut.
Mereka adalah Saminathan Ganesan (DUN Gadek), Kerk Chee Yee (DUN Ayer Keruh), Allex Seah Shoo Chin (DUN Kesidang), Low Chee Leong (DUN Kota Laksamana), Damian Yeo Shen Li (DUN Duyong) dan Tey Kok Kiew (DUN Bemban).
Calon-calon ini akan bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH).
Jelas Guan Eng, DAP mensasarkan untuk mencipta sejarah pada PRN kali ini sekalipun berdepan dengan kesukaran selepas tidak dibenarkan berkempen seperti sebelumnya.
DAP juga yakin dengan kesemua calon yang bakal dipertaruhkan termasuk dua muka baharu untuk kembali memenangi kesemua lapan kerusi tersebut.
#DAP #Lim Guan Eng #PRN Melaka #pilihan raya negeri #Melaka Memilih