KUALA LUMPUR: Setiap calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajar berikrar untuk menggubal enakmen mengawal amalan lompat parti dan akauntabiliti politik sebagai manifesto masing-masing, bagi memastikan tidak berlaku 'episod katak' selepas PRN.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann, berkata, ia adalah demi memperkasa 'ketuanan' pengundi', dimana langkah itu penting bagi mengelakkan wakil rakyat melompat parti sehingga menyebabkan berlakunya ketidakstabilan kerajaan.

"Wakil rakyat yang melompat atau dipecat parti sama ada kerana perbezaan politik atau mengejar kepentingan peribadi akan dihakimi oleh rakyat, sama ada mereka harus dipecat atau dikekalkan melalui petisyen.

"Bersih 2.0 menggesa agar calon dan parti politik yang akan bertanding dalam PRN Melaka untuk mengumumkan manifesto pilihan raya mereka dan dasar serta undang-undang yang akan digubal oleh mereka, sekiranya berkuasa untuk menyelesaikan kemelut politik akibat lompat parti," katanya dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Thomas memberitahu, meskipun memorandum persefahaman politik terjalin antara kerajaan Pusat dan Pakatan Harapan (PH), namun ia tidak dapat menstabilkan situasi politik selagi pembaharuan institusi politik dan demokrasi di negara ini tidak diangkat sebagai undang-undang pada peringkat Persekutuan serta negeri.

Agenda lain yang turut dicadang untuk dimasukkan dalam manifesto ialah meminda Perlembagaan negeri dan peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mewajibkan undi pengesahan keabsahan untuk ketua menteri selepas perlantikan, tidak kira selepas pilihan raya atau pada pertengahan penggal.

"Ini untuk memperkasa keabsahan Ketua Menteri dan mengurangkan percubaan untuk menjatuhkannya," ujarnya lagi.