PRN Melaka: Enam Bahagian UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu - Mohamad Ali

Fareez Azman
November 1, 2021 07:43 MYT
Jelas Muhamad Ali, keputusan muktamad itu diambil selepas mengambil kira sentimen serta hasrat ahli-ahli UMNO akar umbi di negeri itu. - Gambar fail/Astro AWANI
KLEBANG: Enam Ketua Bahagian UMNO di Melaka membuat pendirian menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad hari ini.
Jelasnya, keputusan muktamad itu diambil selepas mengambil kira sentimen serta hasrat ahli-ahli UMNO akar umbi di negeri itu.
"Kami Ketua-Ketua UMNO Bahagian Negeri Melaka ingin menyatakan pendirian muktamad iaitu kesemua bahagian dalam enam bahagian di Melaka ini telah memutuskan kita tidak akan bekerjasama dengan Parti Bersatu.
"UMNO dan Ketua Bahagian di Melaka bersetuju mengadakan hubungan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dalam menghadapi PRN ini," jelasnya dalam satu sidang media di sini pada Isnin.
Tambah Mohamad Ali, tindak tanduk pemimpin Bersatu di Melaka juga ujarnya membawa kepada keputusan terbabit.
"Ini jelas menunjukkan keputusan yang kami buat kehendak akar umbi ahli UMNO d iatas apa yang dilakukan Bersatu kepada ahli UMNO di Melaka dimana hubungan kami dengan akar umbi Bersatu tidak ada langsung hubungan.
"Ia beri gambaran bahawa jika ada hubungan dalam PRN Melaka maka ahli parti akan tidak bersetuju keputusan untuk bersama Bersatu.
"Kepada seluruh ahli UMNO Melaka tuan-tuan, puan puan semua boleh bergerak jangan ada suara nak bersama atau tidak, keputusan telah dibuat tidak akan bersama Bersatu dan akan perkukuhkan MN bersama Pas," jelasnya lagi.
Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi UMNO membuat keputusan untuk memperkukuhkan hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin pula dalam satu sidang media sebelum ini menjelaskan keputusan UMNO itu tidak menjejaskan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.
#PRN Melaka #UMNO Melaka #Mohamad Ali Mohamad #Kerjasama Bersatu