KLEBANG: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin calon-calon dari parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat meyakinkan rakyat agar keluar mengundi pada 20 November ini.

Di sebalik kekangan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dikenakan, beliau optimis, setiap jentera BN dapat menunaikan tugasan mereka dalam memastikan kemenangan parti pada PRN itu.

"Kita sebagai jentera parti meyakinkan pengundi-pengundi yang setia kepada kita untuk berani dan yakin menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan memastikan mandat diberikan kepada BN,” kata Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas bertemu calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Lim Ban Hong di Bilik Gerakan BN di sini, hari ini.

Tambah Hishamuddin, harapan turut disandarkan kepada rakyat Melaka agar tidak takut untuk keluar mengundi pada PRN susulan penularan COVID-19.

Mengulas cadangan keperluan melonggarkan SOP pada hari pengundian, beliau berkata, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukannya.

"Itu kena tanya SPR… perjalanan hari pembuangan undi berada dalam kuasa dan tanggungjawab mereka apa kelonggaran dan SOP.

"Pada masa sama saya sebagai Menteri Pertahanan harapan saya semua keluar mengundi dan sokong kerajaan," jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada anggota tentera yang menunaikan tanggungjawab mereka dalam Undi Awal pada Selasa.

Beliau yakin, disiplin yang ditunjukkan anggota tentera dalam menunaikan tanggungjawab mereka itu boleh contoh kepada rakyat Melaka pada 20 November ini.

"Semalam sesi pengundian awal bagi PRN Melaka telah selesai, kira kira 8,332 anggota tentera iaitu 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan membabitkan anggota ATM (Angkatan Tentera Malaysia) di Melaka telah keluar mengundi.

"Saya bangga proses pengundian berjalan lancar, pematuhan SOP pembuangan undi ditetapkan SPR pada tahap baik. Saya berterima kasih kepada warga ATM cukup berdisplin dan beri contoh baik," katanya lagi.