ALOR GAJAH: Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) akan melancarkan manifestonya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada minggu hadapan, kata Setiausaha Agungnya Amir Hamzah Abdul Rajak.

Amir Hamzah berkata manifesto berkenaan akan dilancarkan pada Isnin atau Selasa ini secara hibrid, dan bakal menjadi pemangkin kepada perubahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Beliau turut memberi bayangan antara perkara yang disentuh di dalam manifesto parti berkenaan adalah berkaitan aktiviti pertanian dan ekopelancongan, yang mungkin boleh menjadi pemangkin perubahan kepada kawasan berkenaan.

"Kita tak lancarkan manifesto lebih awal kerana kita hanya bertanding satu DUN sahaja, namun ia merupakan detik bersejarah buat parti ini yang pertama kali mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara.

"Tiada banyak perkara yang kita akan janjikan dalam manifesto berkenaan, namun ia akan menjadi pemangkin perubahan kepada kawasan ini," katanya ketika ditemui Bernama di Bilik Gerakan Iman di Taman Lesung Batu Jaya di sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan parti berkenaan meletakkan Abdul Aziz Osani Kasim sebagai calon tunggal Iman pada PRN kali ini, Amir Hamzah berkata Abdul Aziz merupakan anak tempatan dan dikenali penduduk setempat.

"Pada mulanya parti buat penilaian untuk kita bertanding di lebih daripada satu DUN, namun memandangkan tiada pengalaman, kita cuba dahulu dengan satu calon.

"Kita ketengahkan Abdul Aziz sebagai alternatif baharu kepada pengundi Machap Jaya dan beliau dikenali di kawasan ini sebagai usahawan. Abdul Aziz mampu menjadi penghubung antara masyarakat Melayu, India dan Cina di kawasan ini," katanya.

DUN Machap Jaya menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Abdul Aziz, Ngwe Hee Sem (Barisan Nasional), Law Bing Haw (Pakatan Harapan), Azlan Daud (Bebas) dan Tai Siong Jiul (Perikatan Nasional) pada PRN Melaka kali ini.

Kerusi DUN Machap Jaya sebelum ini disandang Datuk Ginie Lim Siew Lin dari Pakatan Harapan, selepas menang dengan majoriti 1,336 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

-- BERNAMA