MELAKA TENGAH: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa beliau ‘diserang’ bertubi-tubi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata, pelbagai skrip lama diulang kembali, termasuk permohonan beliau di bawah akta kerajaan untuk mendapatkan rumah.

Beliau mendakwa, pelbagai serangan yang dilakukan itu adalah propaganda untuk menghasut rakyat Melaka membencinya.

“Cerita permohonan saya untuk diberi kediaman di bawah akta kerajaan yang saya buat pada tahun 2018 selepas PRU14 tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka.

“Tiba-tiba diberi nilai RM100 juta. Sedangkan ianya tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk saya pilih di bawah akta kerajaan. Bukan suruh kerajaan belanja untuk beli bagi saya,” katanya lagi.


Hadiah Najib | Anwar terkejut, paksa PH kaji semula persefahaman

Terdahulu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu menggulung perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengesahkan, kerajaan menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Media sebelum ini melaporkan permohonan Najib untuk sebidang tanah seluas 1.13 hektar daripada kerajaan untuk aset berkenaan yang dikatakan terletak di sebuah lokasi di Petaling Jaya.


Dewan Rakyat | Zafrul sahkan Najib mohon rumah, tanah nilai RM100 juta

Mengulas lanjut, Najib berkata, tidak cukup dengan itu, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut dijadikan bahan lawak dalam sebuah program komedi, selain gambar Rosmah disunting seperti karektor Squid Game.

“Sedangkan saya bukan pun calon di Melaka atau saya ada apa-apa jawatan tertinggi di UMNO. Kenapa pulak? Apa kena mengena benci saya dengan PRN Melaka?

"Yang pilihan raya ialah negeri Melaka tapi yang diserang, saya pula? Apa yang pihak-pihak lawan fikir warga Melaka akan dapat sekiranya mereka benci saya?,” soalnya lagi.

Najib turut mempersoalkan, apa yang rakyat Malaysia dapat dengan membencinya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Apa yang Rakyat Malaysia telah dapat dengan membenci saya selepas PRU14?
Ekonomi lebih bagus? Aset-aset negara bertambah? Dividen tabung-tabung simpanan menaik?.

"Kesejahteraan hidup Rakyat bertambah baik? Negara lebih stabil dan terancang? Pasaran saham lebih baik? Pelaburan asing menaik? Janji-janji manifesto ditepati?.

"Apa sebenarnya?," soalnya.