KUALA TERENGGANU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi kayu ukur penentu hala tuju Pas bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata PRN Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu, amat penting dalam menentukan masa depan Pas dalam PN.

"Pas akan perkasakan kekuatan parti bersama-sama dengan PN sebab Pas adalah komponen dalam gabungan itu.

"Keputusan PRN Melaka akan jadi sebahagian perancangan Pas pada masa depan dan saya fikir ramai yang nak tengok keputusan PRN Melaka sebagai petunjuk (kerjasama pada PRU15)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Ke-67 di sini, hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata semua calon Pas yang bertanding pada PRN Melaka perlu melakukan sumpah baiah seperti calon Pas pada pilihan raya terdahulu.

Tuan Ibrahim berkata ia bagi memastikan semua calonnya tidak mengkhianati parti selepas menang pilihan raya atas sokongan dan tiket parti.

"Pas konsisten menentang agenda lompat parti jika menang, tidak seperti PH yang kononnya menentang agenda itu tetapi tiba-tiba di Melaka mereka terima orang yang lompat parti.

"Yang timbulkan masalah di Melaka sekarang ialah mereka yang lompat parti, jadi rakyat Melaka bolehlah menilai orang yang buat masalah pada rakyat tiba-tiba diterima jadi calon dalam pilihan raya," katanya.