KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dijangka menyaksikan percaturan politik lebih dinamik dan fleksibel, susulan ketidaktentuan formula kerjasama antara parti yang berpotensi menyaksikan pertandingan secara solo atau hibrid di beberapa kawasan.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Mazlan Ali berkata sehingga kini belum ada keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama antara parti-parti politik bagi menghadapi PRN Melaka.
Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan perkembangan di negeri lain sebelum ini, sekali gus membuka kemungkinan wujudnya gabungan atau kerjasama baharu dalam PRN Melaka.
“Negeri Melaka ini akan menjadi satu percaturan yang mungkin luar biasa atau satu percaturan yang mungkin tidak pernah kita fikir sebelum ini.
“Politik yang lebih dinamik dan lebih elastik mungkin akan muncul di negeri Melaka sesuai dengan perkembangan-perkembangan yang berlaku mutakhir ini,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara kemungkinan yang menjadi perhatian ialah bentuk kerjasama yang tidak semestinya melibatkan parti bertanding secara bersama di semua kawasan, sebaliknya parti tertentu boleh bekerjasama di sesetengah kerusi dan bertembung di kawasan lain.
Menurutnya, pendekatan sedemikian berpotensi mewujudkan pertandingan solo-hibrid yang lebih kompleks, khususnya sekiranya rundingan pembahagian kerusi antara parti tidak mencapai kata sepakat.
Mazlan menambah kawasan campuran berpotensi menjadi antara tumpuan utama kerana persaingan di kerusi berkenaan boleh berlangsung sengit, khususnya jika lebih banyak parti bertanding.
“Kerusi-kerusi campuran ini mungkin akan menjadi pertarungan antara parti-parti politik, pertarungan sangat hebat dan mungkin kemenangan dalam jumlah undi yang sangat kecil,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata ketidakjelasan bentuk kerjasama juga boleh menyebabkan pengundi berdepan pilihan yang lebih kompleks sekiranya parti yang mempunyai hubungan kerjasama di satu peringkat bertanding sesama sendiri di peringkat lain.
Mazlan menjelaskan perkembangan politik semasa turut berpotensi mempengaruhi pemikiran pengundi, khususnya pengundi atas pagar dan golongan muda, namun kesannya perlu dilihat dalam konteks PRN kerana sentimen pilihan raya negeri tidak semestinya sama dengan pilihan raya umum.
Beliau berkata isu dan perkembangan politik yang berlaku ketika ini berkemungkinan terus menjadi bahan kempen parti-parti politik, bukan sahaja bagi PRN Melaka tetapi juga dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan pembubaran berkuat kuasa hari ini membuka laluan kepada PRN ke-16, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.