AYER KEROH: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa parti itu mengambil maklum keputusan dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru baru ini berhubung kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun jelas Hamzah, kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Khamis tidak menyebut nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka ia memberi gambaran jelas bahawa tiada kerjasama antara UMNO dan Bersatu.

"Soalan susah saya nak jawab, kalau daripada apa yang saya baca, Setiausaha Agung UMNO (Ahmad Maslan) tidak sebut pun nama parti Bersatu.

"Kalau daripada penerimaan, pemahaman kita orang biasa maknanya (UMNO) tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu," jelasnya ketika diminta mengulas berhubung isu itu.

Tambah Ahli Parlimen Larut itu, beliau hanya memahami maksud tersurat susulan keputusan yang dibuat UMNO itu, dan tidak memahami jika wujud maksud tersirat.

"Saya tak faham bila sesuatu dikeluarkan dalam media, yang saya faham hanya tersurat. Yang ada di situ (kenyataan media), itulah dia dan mereka mahukan. Okay, yang tersirat itu saya tak faham.

"Kalau dia kata itu sebenarnya macam ini atau itu (beri penjelasan), kita terpaksa bincang baru saya boleh jawab," jelasnya lagi.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis lalu membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas pada PRN Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata, mesyuarat memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRN Melaka.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek ketika dihubungi Astro AWANI semalam menjelaskan bahawa keputusan berhubung tawaran itu akan dibuat oleh Pas Pusat pada esok (Ahad).