KUALA LUMPUR: Tiada aktiviti perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam dua program berasingan melibatkan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Sebaliknya, siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mendapati, aktiviti kedua-dua pemimpin itu lebih berbentuk ‘walkabout’, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut KKM, kedua-dua penganjur program tetap dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ini berikutan kegagalan penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut. 

“Kompaun bernilai RM20,000 ditawarkan kepada PN Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Muhyiddin.

“Manakala satu lagi tawaran kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri Najib,” kata KKM.

Pada 30 Okt lalu, Najib dilaporkan meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat ketika makan tengah hari di Jeti Kampung Hailam, Melaka. 

Pada tarikh sama, Muhyiddin dilaporkan hadir di beberapa Program Gerai Prihatin Rakyat di Melaka.

Penganjur Program | Najib dikompaun RM4,000, Muhyiddin RM20,000 - KKM


Kementerian berkata, pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya menjelang PRN Melaka, akan terus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan COVID-19.

“KKM tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KKM menasihati agar masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia,” tegasnya.

BACA: PRN Melaka: 'Saya serahkan duit baki, jangan salah faham... itu fitnah' - Muhyiddin

BACA: PRN Melaka: Perhimpunan berkaitan pilihan raya dilarang mulai 25 Okt

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov.

Katanya, KKM mendapati, antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster COVID-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak patuh SOP.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka. Penamaan calon ialah pada 8 Nov.