KUALA LUMPUR: Sejumlah 89.9 peratus atau 10,390 petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota tentera, pasangan mereka dan polis selesai proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak memberitahu, proses pengundian yang bermula pada pukul 8 pagi itu berjalan lancar dengan pematuhan garis panduan pencegahan COVID-19 yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: 89.9 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab babit 10,390 pengundi - SPR

Dalam pada itu, Ikmalrudin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan, para media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.

Prose pengundian awal bagi PRN Melaka sebelum itu ditutup pada pukul 5.30 petang.

PRN Melaka kali ini menyaksikan sejumlah 11,557 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

Sebelum ini, SPR menetapkan tarikh 8 November sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 16 November.

Manakala tarikh pengundian ditetapkan Sabtu ini (20 Nov).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd  Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.