MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan untuk menguasai tujuh daripada 11 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Halim Bachik.

Halim berkata daripada sasaran tujuh kerusi itu, tiga kerusi yang akan dipertahankan iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Kelebang dan Machap Jaya yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Kita tambah lagi empat kerusi iaitu Paya Rumput, Asahan, Rim dan Lendu," katanya pada sidang media yang berlangsung melalui aplikasi Zoom di sini hari ini.

Pada PRU14 lepas, Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai PKR membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 15 kerusi dengan DAP lapan (PKR (3), Amanah (2) dan Bersatu (2).

PRN Melaka pada 20 Nov ini, menyaksikan PH bertanding di 28 kerusi DUN dengan PKR bertanding di 11 kerusi, Amanah (9) dan DAP (8).

Halim berkata, walaupun kerusi Lendu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan diwakili penyandangnya Ketua Menteri Melaka (sementara) Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tetapi pertaruhan calon muda di kawasan itu diyakini akan membawa perubahan.

"Walaupun ia kawasan pengundi Melayu tetapi berdasarkan sejarah pada PRU13 dan PRU14 walaupun di kawasan bekas Ketua Menteri, ia gagal dipertahankan oleh penyandang pada ketika itu," katanya.

Lendu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Sulaiman daripada BN, Abdullah Mahadi PN dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).

Pada PRU14 Sulaiman menang di kerusi berkenaan dengan majoriti tipis, 627 undi.

-- BERNAMA