MELAKA: Perikatan Nasional (PN) bersedia berdepan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak memberi keputusan berhubung kerjasama dengan gabungan itu.

Jelas Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PN sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti dalam berdepan PRN Melaka.

"Perkara itu pernah disuarakan Datuk Mohd Rafiq (Pengerusi PN Melaka) yang menyatakan d iperingkat awal lebih seminggu lepas bahawa kami bersedia bekerjasama.

"Persoalan berbangkit adakah pihak sana bersedia? Kita tidak dapat jawapan tegas dan jelas. Masa begitu singkat, dah diumumkan tarikh penamaan calon, pemilihan dan pengundian," jelasnya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR

[TERKINI] Sidang Media Pengerusi Majlis Pemulihan Negara

Tambah Muhyiddin, jika tiada syarat jelas, maka PN ujarnya akan mengikut keputusan peringkat Pusat.

"Sebagai sebuah parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), bagi saya ini penting kita tidak boleh lengah, kalau tidak ada isyarat yang jelas kita akan ikut apa keputusan yang telah dibuat PN Kebangsaan.

"Parti-parti dalam PN (Persatu, Pas dan Gerakan) bersetuju kalau kita perlu ke hadapan dengan tiga penjuru kita bersedia menghadapi," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan Negeri Melaka di Bandar Melaka pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO dan BN belum memuktamadkan keputusan sama ada wujud kerjasama dengan PN atau tidak.

Jelasnya, keputusan akan dibuat selepas mesyuarat Biro Politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional awal bulan depan.