KRUBONG: Perikatan Nasional (PN) Melaka akan memuktamadkan agihan kerusi bersama parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), minggu ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, rundingan antara pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Pas dan Gerakan sedang berjalan sebelum perkara itu diputuskan oleh pucuk pimpinan.

“PN Melaka ada tiga parti komponen yang mana rundingannya masih berjalan dan InsyaAllah senarai kerusi yang ditandingi akan dimuktamadkan oleh ketiga-tiga parti ini.

“Setakat ini lebih kurang 50 peratus rundingan telah selesai dan ada berbaki kira-kira 50 peratus lagi untuk kita muktamadkan minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ziarah kasih di Kampung Tanah Merah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, setakat ini semua enam bahagian sudah menyerahkan senarai calon untuk dpertimbangkan sebelum diperhalusi oleh pucuk pimpinan parti.

“Saya ada menerima pelbagai pencalonan daripada bahagian, srikandi dan armada yang mana selain calon yang berada dalam struktur tertinggi pimpinan, parti juga akan mengetengahkan calon profesional yang berkelulusan tinggi.

“Calon yang mempunyai semangat berkhidmat untuk rakyat, calon muda juga akan dipertimbangkan sebagai persiapan PN untuk berhadapan dengan Undi 18 pada Pilihan Raya Umum(PRU)15 nanti,” tambahnya.

Jelasnya, beliau yakin Bersatu di bawah gabungan PN akan mengemukakan calon yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.