AYER KEROH: Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yakin Perikatan Nasional (PN) mampu meraih kemenangan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, tiga DUN berkenaan ialah N.06 Rembia, N.08 Machap Jaya dan N.10 Asahan.

"Saya fokus sebagai seorang yang bertanggungjawab memayungi calon di bawah Parlimen Alor Gajah. Secara spesifik (saya) meramalkan di Alor Gajah, kita akan dapat kemenangan tiga DUN ini berdasarkan dapatan data.

"Terpulang pada hari mengundi berapa ramai orang keluar (mengundi) oleh kerana ramai tertarik dengan PN ketika ini.

"Semalam, ratusan orang UMNO akan berhijrah ke PN, wakil mereka ada di sini. Kalau mereka nak serahkan borang kami boleh terima, (ini) menampakkan rakyat dah mula memahami perjuangan Bersatu di bawah PN," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah di sini pada Selasa.

DUN Rembia menyaksikan calon daripada PN, Zamzuri Arifin bakal bersaing dengan empat lagi calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas.

Manakala di DUN Machap Jaya, PN mengemukakan Tai Siong Jiul sebagai calon yang akan bersaing dengan empat lagi calon daripada BN, PH, IMAN dan seorang calon bebas.

Di DUN Asahan pula, PN diwakili B Danesh daripada PN yang bakal bersaing dengan calon daripada PH, BN dan tiga lagi calon bebas.